Halaman Utama Artikel Bahasa Cerpen
Bahasa Cerpen PDF Print E-mail
Jumaat, 09 Oktober 2009 10:45

BAHASA DALAM CERPEN

Olahan:

Hasanuddin bin Md Isa

Maksud cerpen

Cerpen ialah singkatan kata daripada perkataan cerita pendek. Cerpen juga sebahagian daripda cereka (cerita reka-rekaan).

Hashim Awang Glosori Mini Kesusasteraan, Fajar Bakti , 1987) menyebut bentuk cereka yang pendek yang membawa satu persoalan bagi menghasilkan satu kesan tertentu yang indah. Ia memusatkan diri pada satu watak dalam suatu situasi di suatu tempat dan ketika.

Hendry Guntur Tarigan (Prinsip-prinsip Dasar Sastera, 1984: Penerbit Angkasa Bandung) mengutip kata B. Mathew menyebut bukan cerita pendek jika tidak ada sesuatu yang diceritakan. Hendri Guntur sendiri mengulas cerpen seperti berikut " cerita pendek harus mengandungi interpretasi pengarang tentang komsepsinya mengenai kehidupan, baik secara langsung atau pun tidak langsung, harus menimbulkan satu efek dalam fikiran pembaca, cerita pendek juga mengandungi detail-detail dan insiden-insiden yang dipilih dengan sengaja, dan yang bisa menimbulkan pertanyaan-pertanyaan di dalam fikiran pembaca.

Bahasa Dalam Cerpen

Berhubung bahasa dalam cerpen ini, Dr. Lim Swee Tim berpendapat:

Pada umumnya, cerpen bertolak daripada satu idea pokok. Bagi menyampaikan idea ini, kita mencari dan memilih watak yang sesuai dengan perwatakannya yang khusus bagi membantu kita menampilkan gagasan yang ingin kita ketengahkan itu.

Kita susun peristiwa daripada satu peringkat ke satu peringkat dengan cermat. Orang memanggilmya plot. Kita pilih pula sudut pandangan yang sebaik mungkin, kemudian memberi latar yang sesuai serta menarik kepada cerita kita.

Penyampaian dari mula hingga ke akhir kita gunakan bahasa. Tanpa bahasa kita tidak mungkin dapat menyampaikan apa-apa. Malah kalau bahasa tidak kuat, kita barangkali tidak mampu untuk menyajikan sesuatu yang berkesan dan indah. Kelemahan penguasaan bahasa akan melemahkan penggarapan tema. Cepen menjadi tawar dan hambar. Banyak aspek kejiwaan dan psikologi watak, kita tidak mampu menghuraikannya dengan mendalam.

Gambaran alam dan suasana pula menjadi tidak berkesan dan tidak mampu menimbulkan kesan keindahan. Penulis perlu menguasai dengan baik apa yang disebut metafora, simili, hiperbola, inversi, alusi, analogi , personifikasi imejan, perlambangan dan lain-lain unsur puitis.

Bagaimana mendalami bahasa?

Cara paling mudah ialah melalui pembacaan. Penulis muda perlu banyak membaca karya-karya besar tokoh sastrawan . Sudahkah membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad atau novel Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said atau novel Seorang Tua di Kaki Gunuug karya Azizi Hj. Abdullah atau Saudagar besar dari Kuala Lumpur karya Kris Mas atau novel Desa Pingitan karya Baharudin Sidi atau Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan lain-lain.

Selain membaca karya-karya kreatif, jangan abaikan membaca selalu buku tatabahasa. Lihat dan semak selalu buku Tatabahasa Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, selalulah berdamping dengan Kamus Dewan untuk memantapkan penggunaan sesuatu kosa kata.

Untuk gaya bahasa cerpen, cuba-cuba dapatkan buku Kris Mas yang berjudul Perbincangan Gaya Bahasa Sastera (DBP 1988). Menurut Kris Mas, gaya bahasa bermaksud cara atau ragam bahasa itu dipakai, khususnya dalam tulisan atau karangan (hal 13). Gaya bahasa juga dirujuk kepada gaya seseorang penulis menggunakan bahasa (hal.14). Bagi Kris Mas, bahasa itu ialah perahu yang didayung oleh setiap sastrawan dan ditumpang oleh pembaca dalam pelayaran yang ingin mencari kebenaran (hal.16).

Prasyarat menghasilkan bahasa yang bain dalam cerpen

1. Pemilihan kata

Bagi menghasilkan penulisan yang baik, pemilihan kosa kata yang tepat amat penting. Kesilapan menggunakan sesuatu perkataan menyebabkan pemahaman pembaca tersasar jauh daripada apa yang difikirkan oleh penulis. Contonya perkataan lihat, tengok, intai, tinjau, tilik semuanya menggambar apa yang dilihat oleh mata tetapi setiap perkataan memberi maksud yang berbeza.

2. Pembinaan ayat yang mantap

Ayat yang baik lahir dari struktur yang betul. Dalam tatabahasa bahasa Melayu ada empat pola ayat yang mendominasikan pengolahan ayat. Struktur itu ialah FN + FN, FN + FS, FN + FA dan FN + FK.

Dalam penulisan karya sastera, penggunaan kata diperindahkan dengan menggunakan bahasa puitis. Lihat bentuk gaya bahasa puitis dalam ayat di bawah.

(i) Air sungai menyenak ke tebing. Hujan semalaman menjadikan sungai sebak. Arus deras menunda sampah sarap yang tesangkut pada tunggul-tunggul berceranggah di tepi tebing. (Dharmala N.S Cerpen Rakit)

Air sungai menyenak – personifikasi

Hujan semalaman menjadikan sungai sebak – Hiperbola

Arus deras menunda sampah - hiperbola

(ii) Sago berasa kepedihan hatinya perlahan-lahan surut. Dia teringat pada mimpi-mimpi yang memberi harapan lain saban malam sejak dua bulan terakhir ini. (Baharuddin Kahar, Cerpen Sempena Ganja Iras)

mimpi-mimpi yang memberi harapan lain - personifikasi

kepedihan hatinya perlahan-lahan surut - imejan

3. Dialog yang mantap

Dialog dalam cepen mempunyai fungsi yang besar menghidupkan penceritaan.

(i) memperkenalkan watak

Dialog memberi kesan kepada pembaca apabila dialog itu sendiri memperkenalkan watak-watak dalam penceritaan. Sebagai contoh , lihat dialog di bawah.

" Siapa dia? "

" Namanya Pipah. Tetapi dipanggil Pip saja. Dia sekampung dengan saya. Tapi sudah lama tinggal di KK."

" Dia kerja apa? "

" Setiausaha sebuah firma yang besar di sana. Saya tidak tahu nama firma itu," kata Baitah.

(Cerpen Sebuah Pekan Bernama Semporna karya Abdullah Hussein. Antologi SPBS, DBP hal. 128 - 129)

(ii) Dialog tanpa penjelasan

Dialog yang kemas tidak memerlukan keterangan suasana. Memadai pembaca membaca dialog. Pembaca sudah tahu siapa yang berkata dan kepada siapa dia berkata. Lihat pula dialog dari cerpen Susanne dan Penyair yang pulang karya Zakaria Ali (Dewan Sastera; Ogos 1973: 1)

" Jebat, aku punyai sesuatu nak aku katakan padamu."

" Apa? "

" Tentang Leonard Weekend ini meyakinkan aku bahawa ia tetap cinta padaku."

" Dan kau memulangkan kembali cintanya? "

" Entahlah. Aku sayang padanya'" bisik sussane.

" Tapi aku tak percaya aku cinta padanya sepertiia mencintai aku."

(iii) Dialog dengan penjelasan

Namun begitu, ada baiknya juga jika dialog itu diberi keterangan supaya pembaca benar-benar dapat memahami apa yang diceritakan oleh pengarang. Saya mengambil contoh seperti dialog berikut.

" Aku akan megusulkan undi tidak percaya terhadap pucuk pimpinan parti," ujar Lavasqui secara tebuka sehari selepas berita itu tersiar di akhbar.

" Kau memerlukan dua pertiga majoriti ahli jawatankuasa pusat, Lavasqui," komen Dave.

" Aku telah mengira kau sebagai penyokongku yang pertama,"

Dave menyepi. Dia cuma merenung tepat ke muka sahabatnya.

(iv) Menukar dialog kepada cakap pindah

Terdapat juga penulis yang menukar dialog kepada cakap pindah. Contohnya Anwar Ridhwan dalam karyanya berjudul Di Negeri Belalang menulis begini.

Dia ditanya apa tujuannya datang ke kota mati itu. Dia memberi jawapan bahawa dia tanpa tujuan sebenarnya dan tidak mengharapkan penemuan yang luar biasa. Dia sudah terbiasa untuk menemui kekosongan dalam hidupnya. Itu, katanya sama seperti mendulang emas di kali yang memang tidak mempunyai emas.

( Novelet Di Negeri Belalang, Marwilis Publisher, 1989: 59 – 60)

4. Pelukisan

Untuk memberi gambaran yang tepat, pengarang perlu menulis secara terperinci tentang sesuatu perkara. Perincian penulisannya itu menyebabkan pembaca benar-benar berpuas hati . Inilah pelukisan bahasa dalam sesebuah karya sastera.

Dalam novel terjemahan berjudul Perjuangan Sia-sia karya John Steinbeck (DBP, 1981) bahasa pelukisan ini digarap dengan baik.

Akhirnya malam menjelang. Di luar lampu-lampu jalan telah menyala dan lampu neon pada papan tanda restoran berkelip-kelip memancar sinar merah menyala ke udara. Lampu neon di papan tanda itu melontarkan sinar merah redup ke bilik Jim Nolan. Telah dua jam dia duduk di kerusi goyang kecil yang keras di bilik itu dengan melunjurkan kedua-dua kakinya ke lantai dan menepuk-nepuknya untuk menghilangkan rasa kebas itu menjalar naik dan turun hingga ke buku lalinya, kemudian dia berdiri lalu menyalakan lampu yang tidak bertudung dan kelihatanlah sebuah katil putih besar dengan cadarnya berwarna putih seperti kapur sebuah almari kayu oak berwarna keemasan dan permaidani merah bersih yang terhampar yang warnanya telah bertukar menjadi kecoklatan dengan tepinya yang meleding (hal. 1).

 

Perhatikan gambaran di dalam bilik itu dengan perabot yang sama sekali tidak diceritakan oleh pengarang. Hanya sesudah lampu dipasang, baharu dapat dilihat dengan jelas keadaan bilik yang dihuni oleh Jim Nolan.

Latihan

Tandakan ( /) menandakan anda benar-benar faham.

Frasa

metafora

hiperbola

Personi fikasi

inversi

alusi

Perlambangan

imejan

simili

Pipinya bak pauh dilayang

        

Laut fikirnya kembali bergelonjak

        

Semut menjerit menggegarkan langit

        

Dedaun kayu melambai mesra

        

Kau umpama bulan

        

Hatinya lara duka menanggung rindu

        

Dialah Hamzah yang syahid di medan Badar

        

Air matanya membanjiri pipinya

        

Kakinya mula bernanah, kuning hijau, hanyir dan membengkak

        

Dialah mawar berduri

        

Angin berlalu sahut menyahut

        

Dia membina projek gajah putih

        

Wajah rindu berpaut erat

        

Kaulah buaya tembaga yang mengganggu anak gadisku

        

Hatinya remuk bagaikan kaca terhempas ke lantai

        

Kotak rasanya mengandung kecewa

        

Api menjulang ke langit pertama

        

Embun pagi menyapu wajahnya

        

Rasa sakit menyucuk ke sudu hati, menyenak lalu menolak ke pusat otak

        

 

Kertas kerja ini dibentang di Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2008 pada 11 hingga 15 Mei 2008 bertempat di De Rhu Beach Resort, Balok, Kuantan, Pahang.

Komen
Carian
hanya ahli berdaftar boleh mennghantar komen!!

3.26 Copyright (C) 2008 Compojoom.com / Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved."

 
Ada masalah atau cadangan untuk website ini?
Isi borang hubungi kami untuk penambah baikan.
Terima Kasih.

Online Sekarang

Sekarang ada 5 tetamu online
mod_vvisit_counterJumlah Pelawat96895

Buat akaun baru

Klik disini untuk mendaftar manjadi ahli.

Hubungi Kami

Ma'ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini
26400 Bandar Jengka, Pahang Darul Makmur
Tel : 09-4675087, Fax : 4675086
Website: http://www.maahadsas.edu.my
E-Mel: webmaster@maahadsas.edu.my